Friday, February 26, 2010
Diariku - Februari 2010.
Sepantas kilat menyambar dua bulan dah menyusur dari kalendar tahun 2010. Sepanjang bulan disusuri hari dikejar minit lantas dilarikan saat, ku termenung menerawang detik hayatku sepanjang dua bulan ini. Memang ku rungut, memang ku pinta agar diriku tidak tumbuh bak pokok. Jawapan dari-Mu, Kau tak pernah jadikan ku sepohon pokok apatah lagi kesuma di taman fana. Ku dahan yang bertaut pada-Mu...Kaulah pokok yang menyuburi dahan-Mu, kaulah yang bekalkanku manik kudus dan mendukungku agar kukuh tersergam walau badai menerjah, ombak mengganas...pernah ku berjanji akan ku jalani kehidupan sekerdil rumput...tidak mencuri sejeling pun pandangan penghuni bumi bergelar pulau mutiara ini. Namun masakan bergunanya dahan jikalau menyembunyikan daunnya daripada meredupkan bahang, menghembuskan embun pada petang rembang? Antara rela dengan paksa kan ku menyerlahkan keajaiban-Nya dengan memekarkan daun hijau bagi membumbungi anak muridku yang kepanasan biar diriku, dahan yang sebelum ini tersipu memencil diri berdepan dengan pendedahan yang tak diundang. Sejarah silam akan berulang malah lebih dahsyat daripada zamanku di Miri, namun dengan seruan-Mu Tuhan, ku sedia tampil ke depan biarpun sejarah kejam bakal meledakkan kedamaian hidup yangku idam-idamkan selama ini ! Diriku mungkin akan kecundang lagi dalam dunia onak berduri demi baiduri yang Kau kasihi. Bulan Februari ku tinggalkan pelajar 5SB3. Setiap hari ku tanyakan guru yang menggantikanku khabar pelajarku di sana. Berita yang menyedihkan...kadangkala ku tertanya-tanya adakah ku penyebabnya anak buahku hilang haluan tanpa kemudi? Mampukah ku menyelami lubuk hati pelajar kelas 3TB4 yang baru ku ambil alih? Adakah ku ini sebenarnya seorang perampas yang keras hatinya? Adakah diriku penyebab anak buahku hilang semangat berjuang? Ku sekadar mampu berdoakan kesejahteraanmu dalam pelayaran berdepan dengan SPM...bagaimana dengan CF, kelab yang Kau-amanahkan padaku? Bapa di syurga, ku tak mampu memuliakan nama-Mu tanpa kehadiran-Kau di sisiku! Visiku cuma satu, meyemai benih-benih kasih sayang-Mu dalam diri anak-Mu di bumi ini! Tuhanku, sembuhkan lututku agar dapat ku berjalan jauh berlari pantas mengejar anak-Mu supaya dapat kembali bersama-sama...ke pintu syurga pada suatu hari nanti kelak......ku tak mampu melakukan apa-apa tanpa kehadiran-Mu dalam kehidupanku, bapaku di syurga. Oh ya...dalam bulan ini juga telah ku ketahui ku gagal dalam permohonanku untuk jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Ku terima ketetapan-Mu dengan hati yang kecewa tetapi tenang kerana ku pasti ada hikmah di sebalik setiap rencana-Mu dalam hidup musafir-Mu yang Kau kasihi ini. Dalam segala ketetapan-Mu dalam kehidupanku adalah untuk kebaikanku, ku percaya! Amen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Kekadang, kehendak-Nya memang sukar dipahami, tak kira betapa berpengalamannya kami.
Yang dapat kulakukan hanyalah tetap berdoakan ketabahanmu dalam menempuhi cabaran akan datang. Dan juga pendekkan tempoh penungguan saya di bumi helang ini.... :P
cikgu.. jangan sesekali putus harapan mu..
f.y.i, my mum also took a lot of work to apply for guru cemerlang.. her friend even more cham apply many years only around the 10th yr before she bersara awal only get the guru cemerlang..
dont worry..i'm sure God will give u the perfect time and perfect moment for everything u need in your life. do take care ya..
Post a Comment